INSANIAH DISERANG H1N1
Khamis, 13 Ogos 2009
, Posted by Muhammad Amiruddin Bin Mustafa at 8:28 PTG
Kemaskini 11/08/09 6.00 p.m - Saudari Aishah Binti Osman yang mendapat rawatan di Damansara Speciallist menghadapi komplikasi jantung dan semakin lemah. Pelawat masih tidak dibenarkan mendekati beliau kerana masih diletakkan dalam pemerhatian doktor. Semua mahasiswa diminta mendoakan kesejahteraan beliau.
Kemaskini 10/08/09 10.10 a.m - Saudari Akidah yang sebelum ini mendapat rawatan akibat disahkan mengidap H1N1 dan menghadapi komplikasi jantung kini dibenarkan keluar hospital diiring oleh ahli keluarga dan rakan-rakan beliau.
Kemaskini 9/08/09 12.00 p.m - Saudari Akidah telah menunjukkan tanda-tanda semakin sihat dan telah dibenarkan bercakap dengan ahli keluarga dan pelawat.
Kemaskini 8/08/09 9.00 a.m - MPMedia dimaklumkan seorang lagi siswi dari kulliyyah Usuluddin tahun 2 telah dimasukkan ke hospital akibat disahkan menghidap H1N1. Beliau kini ditahan di wad pemerhatian di hospital Damansara Speciallist, Damansara, Selangor.
Kemaskini 7/08/09 12.15 p.m - Sdri Akidah binti Isa yang dirawat di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah sejak semalam kini dalam keadaan lebih kritikal kerana dimaklumkan virus telah menyerang jantungnya dan telah menghadapi komplikasi jantung serta batuk berdarah. Presiden MPM memohon agar semua mahasiswa mengadakan solat hajat memohon kepada Allah agar saudari Akidah sembuh dan dikurniakan semangat untuk melawan penyakit berkenaan.
Kemaskini 6/08/09 10.00 a.m - Pihak HEP mengesahkan seorang siswi dari kulliyyah Al-Quran Tahun 2 yang juga ahli jawatankuasa MPM telah disahkan oleh pihak hospital sebagai mengidap H1N1 dan kini dalam keadaan kritikal sedang dirawat di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Pelawat tidak dibenarkan masuk ke wad berkenaan. MPMedia dimaklumkan seorang kakitangan dari Pusat Pengajian Siswazah juga turut ditahan di wad dikuatiri telah disahkan menghidap H1N1.
Kemaskini 5/08/09 9.00 p.m - Presiden MPM, Sdr. Ammar Badruddin Romli ditemani bersama beberapa orang ahli JAKSA menziarahi mahasiswa-mahasiswa yang dikuarantin akibat disyaki menghidap H1N1 di Blok C, Kolej Kediaman Al-Khawarizmi. Beliau menasihati mereka agar tabah dan bersemangat menghadapi ujian Allah ini.
Kemaskini 4/08/09 10.00 p.m - Satu majlis solat hajat dan bacaan yaasin bagi memohon kekuatan dan menolak segala bala dan penyakit diadakan di surau Al-Kindy diimamkan oleh Naib Presiden 2 MPM, Sdr. Shukri Bin Sawai.
4/08/09 8.00 p.m - Seramai lebih 4000 mahasiswa Insaniah mula bercuti pada hari ini kerana akibat arahan perintah penutupan permis yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Perintah tersebut dikeluarkan akibat seramai 100 orang lebih telah disyaki menghidap tanda-tanda Influanza H1N1. Berikutan itu, Kolej Universiti Insaniah akan mula bercuti selama 10 hari dan akan dibuka kembali pada 16 Ogos 2009. Cuti tersebut akan mengantikan cuti pertengahan semester yang sepatutnya dijangka pada 20 Ogos ini.
Pesta konvokesyen yang sedang berlangsung bermula 1 hingga 5 Ogos juga terpaksa ditunda dengan beberapa aktiviti utama terpaksa ditangguh seperti Forum Wacana Siasah yang bertajuk 'Polimik ISA:Antara Benteng Kerajaan dan Kepentingan Negara' dan Konsert Citra Warna. Sebanyak 50 gerai jualan dan pameran juga terpaksa ditutup sebagai langkah susulan bagi mengelakkan virus tersebut menular. Tarikh aktiviti-aktiviti yang tertangguh akan diumumkan selepas tamat cuti tersebut.
Tinjauan MPMedia mendapati seramai lebih 2000 orang pelajar telah meninggalkan kolej kediaman masing-masing dan kini mereka bersesak-sesak di stesyen-stesyen bas utama seperti Shahab Perdana dan Pekan Rabu serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.
Majlis Perwakilan Mahasiswa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya mengharapkan agar semua mahasiswa memanfaatkan cuti tersebut dengan sebaik-baiknya. Beliau juga berharap agar segala langkah-langkah keselamatan diambil oleh pihak pentadbiran universiti bagi memastikan virus ini tidak tersebar dan memudaratkan orang lain. Pihak MPM memohon maaf atas segala permasalahan yang timbul akibat kerugian yang terpaksa ditanggung oleh peniaga-peniaga gerai jualan PESKO.
Currently have 0 ulasan: